Biodata Yang Dipertua

Biodata Yang Dipertua

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff

PSM, DGPN, DSPN, DJN, KMN, AMN, PPN, JP

Yang Dipertua
Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim
Islam Pulau Pinang
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff telah dilahirkan pada 11 Ogos 1930 di Pulau Pinang dan kini berusia 83 tahun. Beliau merupakan anak yang kelima daripada tujuh orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Chowrasta dan sekolah Inggeris, dan telah berumah tangga pada tahun 1958 dengan Yang Berbahagia Datin Hajjah Aishah Bt Ismail dan dari perkahwinan ini telah dikurniakan seramai 4 orang anak, iaitu dua orang lelaki dan dua perempuan. Keempat-empat orang anaknya masing-masing telah berumah tangga.

Beliau adalah seorang yang aktif sejak zaman remaja sehingga kini, dengan menjawat perbagai jawatan penting dalam pertubuhan sukarela, masyarakat, sukan dan juga aktif dalam bidang politik. Beliau telah memulakan kariernya sebagai ahli perniagaan sejak tahun 1960an dan hasil dari usaha gigih, beliau kini telah berjaya menjadi seorang ahli korporat yang terkenal di Pulau Pinang.

Beliau telah melibatkan diri dengan Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang sejak tahun 1960. Beliau telah memegang jawatan Yang Di Pertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang semenjak 1980 hingga sekarang. Beliau juga memegang Jawatan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) sejak tahun 1994 hinggalah sekarang.

Dengan inisiatif Ahli Jawatankuasa di bawah pimpinan beliau, pada tahun 1985, telah dapat diwujudkan sebuah bangunan yang dinamakan Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, di atas sebidang tanah yang dipajakkan oleh Kerajaan Negeri kepada PKAYIPP, di Jalan Scotland, Pulau Pinang.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa-jasa beliau terhadap masyarakat dan Negara, Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff telah dianugerahkan beberapa darjah dan bintang kebesaran Negeri dan Persekutuan, seperti berikut:
  • Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) – 2014 yang membawa gelaran Tan Sri
  • Darjah Gemilang Pankuan Negeri (DGPN) – 2005 yang membawa gelaran Dato’ Seri
  • Pingat Pangkuan Negara (PPN) – 1995
  • Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) – 1985 yang membawa gelaran Dato’
  • Darjah Johan Negeri (DJN) – 1983
  • Kesatria Mangku Negara (KMN) – 1980
  • Jaksa Pendamai (JP) – 1980 (Kerajaan Pulau Pinang)
  • Ahli Mangku Negara (AMN) – 1978
“Selagi Allah S.W.T. memberikan kekuatan dan tenaga serta kesihatan yang baik, selagi itulah saya akan memberi sumbangan serta kebajikan terhadap masyarakat dan negara”.